Khamis, 24 Jun 2010

RIWAYAT HIDUP RINGKAS BADIUZZAMAN SAID NURSI

Kekaguman Zaman (Badiuzzaman)

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di kampung bernama “Nurs”, di timur Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman (Kekaguman Zaman).

Pengalaman pendidikan yang telah beliau lalui telah membukakan fikirannya untuk memikirkan cara untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bersepadu. Ketika itu, dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan lojik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap taksub”.

Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduaya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu.

Ketika bercakap dengan Sultan Abdul Hamid, Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan “Jika Badiuzzaman gila, maka tidak akan ada seorang manusia siuman pun di dalam dunia ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.

Kebebasan Pertama

Sering kali Badiuzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada sesuatu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.

Selepas itu, beliau kembali ke Timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang Islam. Perundangan Islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.

Pada musim sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam." Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Dalam Perang Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.

Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.

Badiuzzaman pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia. Walau bagaimana pun, hukuman itu kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti berikut:

Pada satu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badiuzzaman tetapi ulama itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa saja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya.” Akibat dari peristiwa itu beliau kemudianya dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah sempat bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich melihat kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta maaf. Jeneral itu berkata beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak demikian kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf atas gangguan tersebut. Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan oleh orang Russia, musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh sebahagian orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang penuh dengan berbagai penderitaan.

Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis, memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al Islamiah tanpa pengetahuanya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.

Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama. Badiuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “Wahai anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang tertinggi” dan “Ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu”. Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru yang sedang ditunggunya.

Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.

Badiuzzaman menghabiskan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.

Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku. Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.

Kemunculan Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya)

Sebenarnya penyebaran iman bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah pada ketika itu. Pada masa itu, kezaliman menyelubungi negara Turki dengan segala kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk tujuan bukan keagamaan. Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan segala nilai-nilai akhlaknya yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh 10 hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep agama di dalam pemikiran para belia.

Dalam suasana beginilah Badiuzzaman Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya "Said Jadid” (Said Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”. Maka itulah yang diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama matahari, menyinari dunia sains dan budaya. Semenjak itulah, beliau telah menyinari berjuta-juta manusia dengan cahaya iman.

Di Barla, pengawasan ketat dan penindasan sedang menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga apabila terpaksa berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.

Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah disiksa di dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badiuzzaman.

Sebanyak 600,000 naskah ditulis dengan tangan.

Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya 1 karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badiuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benar kata Maryam Jameelah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badiuzzaman Said Nursi”.

Mereka yang memahami intipati iman melalui Risale-i Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat. Badiuzzaman, yang mewakili roh Risale-i Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut. Beliau menjadi contoh kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika itu. Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka pun berjaya menghilangkan ketakutan dan syak wasangka dari hati orang ramai dan maruah negara dikembalikan. Mereka telah membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada rasa cemas dan kecewa.

Pada tahun 1935, Badiuzzaman bersama 125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka masih membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada perasaan cemas dan kecewa.

Badiuzzaman kemudianya dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dinamakan “Posman Nur” (Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000 naskah Risale-i Nur ke seluruh Anatolia.

Pada tahun 1943, beliau bersama 126 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul mengenai kewujudan Tuhan.

Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini.

Perbicaraan di Denizli berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi ini tidak bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan daripada pihak berkuasa di Ankara, beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain bernama Emirdag.

Kebebasan yang sudah lewat

Bagi Badiuzzaman, Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi beliau diawasi, ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan iman dan Islam. Tenmpohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penangkapanya. Kali ini beliau bersama dengan 53 pelajarnya telah ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk dibicarakan. Beliau dipenjarakan di penjara Afyon selama 20 bulan. Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk berbanding yang lain. Badiuzzaman ketika itu berumur 75 tahun dan sedang menderita berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau diracun sebanyak 19 kali). Ketika beliau menderita kesakitan akibat racun tersebut, beberapa orang pelajarnya memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah dibelasah dengan kejam sekali.

Akhirnya hukuman ke atas Badiuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung telah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Mahkamah membatalkan hukuman tersebut setelah Badiuzzaman dan para pengikutnya menghabiskan tempoh penjara yang sama panjang dengan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Afyon. Lapan tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah tersebut mengistiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan dua tahun dalam penjara yang teruk.

Pilihanraya bebas dan adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem pelbagai parti telah menggantikan sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula diikhtiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam hanya 1 perbicaraan saja. Dalam perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak ditahan. Keputusannya ialah beliau dibebaskan sebulat suara.

Selepas hampir seabad berkhidmat untuk iman dan Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyinari abad ini dan abad-abad yang mendatang. Kasih sayang yang dipupuknya akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi untuk selama-lamanya.

Pandangan terhadap Risale-i Nur

Badiuzzaman telah memahami sebab yang paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada asas keimanan pada abad ke 19 dan 20 ini yang dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk mengerahkan semua tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan “Jihad yang Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.

Dalam masa penahananya, Badiuzzaman telah menulis satu koleksi karya yang digelar Risale-i Nur, yang menerangkan dan menghuraikan asas-asas keimanan dari kebenaran Al-Quran kepada manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung dalam keimanan seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya, kerasulan dan kebangkitan manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat diterangkan sebagai satu satunya penjelasan yang rasional dari keujudan manusia dan alam semesta ini.

Dalam menjelaskan keadaan yang sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risale-i Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh diperolehi dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat dari kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan kesedihan yang amat sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha untuk menghilangkannya melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai sebarang kesedaran boleh mengambil perlindungan dengan cara berpegang kepada keimanan.

Berikutnya adalah beberapa petikan yang di utarakan oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini keatas Badiuzzaman dan Risale-i Nur:

Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan yang besar dalam memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh Ahmad Sirhindi di India. 2. Pergerakan Abdulhamid ibnu Badis di Algeria 3. Pergerakan Badiuzzaman Said Nursi di Turki.

Prof. Abdul Wadud Celebi

(Universiti Al-Azhar,Mesir)

Saya percaya bahawa penulisan dalam Risale-i Nur sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan menyeluruh kepada kosmos seperti keadaaannya yang sebenarnya, menyampaikan keimanan dengan pentafsiran Al-Quran seperti yang dikehendakki oleh Rasul kita, mencari sebab penyakit yang menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya berkepecayaan bahawa pengarang Risale-i Nur layak untuk di gelar Mujaddid.

Dr. Colin Turner (Telah memeluk Islam)

(Universiti Manchester,England)


Sabtu, 6 Mac 2010

MENJADI NAQIB@MENTOR YANG CEMERLANG

1 ) Berikan Kasih Sayang

Proses pentarbiyahan diibaratkan seperti proses keibuan yang boleh dilihat di mana-mana. Seorang ibu itu merangkul bayinya, menyusukannya, bersusah payah bersengkang mata kerananya, mengucupnya dengan penuh perasaan kasih sayang yang tidak dapat disifatkan, penuh keikhlasan dan tanpa syarat (unconditional love).

Si anak juga bagai sangat-sangat mengerti perasaan si ibu; jika ada yang cuba merampasnya dari ibunya ia pastikan merengek, dia faham akan memek muka ibunya dan kenal sangat akan bau harum ibunya. Itulah dia tarbiyah; kasih sayang.

Hampir keseluruhan inti karangan kitab Imam Al-Ghazali Al-Ihya’ merupakan inti pati tarbiyah. Tidak akan berjaya sesebuah usaha tarbiyah selagi tidak terbina jambatan kasih sayang antara murabbi dan murid. Seseorang murid tidak akan memahami pengajaran guru yang tidak disukainya, sekalipun gurunya sering berkata yang benar.

Rasulullah s.a.w telah mengajar satu wasilah di mana jika kita menjadikannya pengamalan di dalam masyarakat Islam kita, pasti akan berkembang bibit-bibit kasih sayang antara masyarakat Islam; iaitu sebarkan salam. Melalui ajaran Rasulullah ini, kami mendapati bahawa tarbiah tidak memerlukan kata - kata yang banyak; hanya dengan sekadar mengucapkan “Assalamu’alaikum!”.

Mudah kan? Bagaimana seseorang manusia boleh berkasih sayang dengan saudara insannya yang lain? Beberapa saranan telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Antaranya ialah dengan bersenyum (Janganlah kamu memperkecilkan urusan sesebuah amal makruf itu, walau sekadar kamu bertemu saudara mu dengan wajah yang ceria) Allahu akbar!

Tanyakan hal ehwal saudara kamu, saling ber-tahaadii (memberi hadiah), mendoakan antara satu sama yang lain dan berkongsi sama perasaan suka dan dukanya. Semua ini adalah wasilah-wasilah yang mudah. Tidak perlukan banyak usaha dan kata-kata!

Setelah kaum muslimin menang dalam peperangan Badr Al-Kubra, orang-orang Quraisy telah berjaya menculik saiyidina Khabbab Bin Al-Arat dengan tujuan membunuhnya. Mereka mengikatnya dan ingin menyalibnya. Abu Sufyan yang pada ketika itu sebagai ketua kaum Quraisy telah bertanya kepadanya “Wahai Khabbab! Dalam keadaan mu sekarang ini, adakah kau redha kami gantikan kamu dengan Muhammad?” Menjawab Saiyidina Khabbab “Tidak! Aku tidak redha sama sekali Rasulullah disakiti walau dengan sekecil duri sekalipun!”

Itulah dia kasih sayang yang telah mengikat jiwa para sahabat r.a dengan Rasulullah s.a.w sehinggakan kaum Quraisy mengatakan “Kami tidak pernah melihat seseorang mengasihi saudaranya seperti mana para sahabat Muhammad mengasihi Muhammad!”

Rasulullah s.a.w dan saiyidina Abu Bakar r.a pernah sekali itu disakiti sewaktu mereka berada di Mekah. Mereka dipukul dan dihina sehinggakan saiyidina Abu Bakar pengsan kerana mempertahankan Rasulullah dari disakiti. Apabila beliau sedar dari pengsannya, ketika ibunya ingin memberinya sedikit minuman, beliau menolak dan berkata “Aku ingin mengetahui keadaan Rasulullah terlebih dahulu”. Ini lah dia contoh cinta sesosok peribadi yang telah ditarbiyah oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam Perang Uhud, setelah kaum muslimin membawa khabar kekalahan mereka di medan perang, seorang wanita bertanyakan “Apakah kesudahan peperangan?” Mereka pun menjawab “Telah terbunuh suami mu”. Si wanita berkata “Aku tidak bertanyakan itu”. “Telah terbunuh ayah mu”. “Bukan itu yang aku tanyakan”. “ Telah terbunuh saudara lelaki mu”. “Aku tidak bertanyakan dia”. “Telah terbunuh putera mu”. Si wanita menjawab “Aku tidak bertanyakan tentang mereka semua itu. Aku ingin bertanyakan, apa khabar Rasulullah s.a.w?” Mereka pun menjawab “Rasulullah berada di dalam keadaan baik-baik saja”. Si wanita pun berkata “Alhamdulillah, semua musibah setelah (mengetahui keadaan) mu, ya Rasulullah, adalah kecil!”

Seorang lelaki berjalan ke sebuah kampung. Lalu turunlah malaikat menanyakan “Kenapa kah kamu berjalan ke kampung itu?” Beliau menjawab “Aku ingin menziarahi si fulan”. Malaikat itu terus bertanya “Adakah kau mempunyai pertalian darah dengannya?” Beliau berkata “Tidak ada. Cuma aku mengasihinya kerana Allah”. Lalu malaikat itu pun mendoakannya “Moga Allah mengasihi mu atas sebab kasih mu terhadap saudara mu itu dan Allah telah menetapkan syurga sebagai ganjaran buat mu.”

Seorang lelaki mendatangi Baginda Rasulullah s.a.w dan berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Aku ingin bersama-sama mu di syurga nanti.” Tanya Rasulullah: “Apakah yang kau siapkan untuk itu?” Katanya: “Tiada lain kecuali cinta ku kepada Allah dan RasulNya.” Bersabda Baginda: “Seseorang itu akan dibangkitkan dengan orang yang dikasihinya”.

2 ) Tunjukkan Qudwah Hasanah

Jika seorang anak mendapati ibunya tidak bersikap jujur dengannya, dia tidak akan mendengar kata ibunya. Jika seorang guru menyuruh muridnya untuk membuat sesuatu sedangkan dia sendiri tidak membuatnya, muridnya tidak akan patuh suruhannya. Seorang murid perlu mendapatkan murabbinya sebagai qudwah hasanah baginya.

Umat Islam terdahulu mendapatkan Rasulullah sebagai qudwah mereka. Seperti yang diturunkan Allah ke atas kaum muslimin ayat: “Sesungguhnya bagi kamu sekalian dalam diri Rasulullah itu sebuah uswah hasanah (contoh yang baik).”

Semua orang bertanggungjawab dalam usaha tarbiyah perlu menjadi qudwah hasanah bagi orang-orang yang ditarbiyahnya. Suatu hari, ketika cuaca panas terik di kota Madinah, Rasulullah keluar dari rumahnya. Dalam perjalanan, Baginda bertemu dengan sahabatnya saiyidina Abu Bakar dan saiyidina Umar. Baginda pun bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu keluar dari rumah mu?” Jawab mereka: “Kami tidak keluar dari rumah kami kecuali kerana sudah terlalu kelaparan, ya Rasulullah!” sambil menyelak baju mereka dan sebiji batu diikat di tengah-tengah perut masing-masing. Lalu Rasulullah menyelak jubahnya dan 2 biji batu diikat di perut Baginda yang sedang meronta kelaparan.

Para sahabat pernah meriwayatkan bahawa mereka selalu berlindung di belakang tubuh sasa Rasulullah ketika peperangan semakin sengit. Rasulullah ketika membahagi-bahagikan tugas kepada para sahabatnya sewaktu mengorek lubang parit, berkata “Dan aku pula akan mengumpulkan kayu-kayu arang.”, yang merupakan bahagian tugas yang paling susah ketika itu.

Kebiasaan saiyidina Umar Bin Khattab ketika menyandang jawatan sebagai Amirul Mukminin, setelah selesai memberi arahan di atas mimbar, beliau akan terus pulang ke rumah dan memberitahu ahli keluarganya: “Aku telah memberi arahan kepada kaum muslimin. Nah! Sekarang orang semua pasti akan melihat kepada kelakuan keluarga Umar.” Jadi, bagi sesiapa yang ingin mentarbiyah, perlu menunjukkan contoh yang baik. Jika tidak, dia akan menjadi bencana kepada dakwah yang dijalankannya.

3 ) Mengembangkan Potensi

Ketika Rasulullah bertemu dengan saiyidina Abdullah Bin Mas’ud (yang ketika itu sedang menggembala kambing) buat pertama kali dan setelah Baginda bertanyakan kepadanya beberapa soalan, beliau pun berkata “Sesungguhnya kau adalah pemuda yang sangat bijak.” Rasulullah telah membongkar potensi-potensi Abdullah Bin Mas’ud hanya dengan beberapa soalan yang diajukan. Abdullah Bin Mas’ud kemudian itu - dan dengan berkat doa Baginda Rasulullah - telah menjadi salah seorang Imam dan Ulama bagi kaum muslimin. Itulah dia tugas seorang naqib dan murabbi.

Rasulullah s.a.w telah mengenal pasti potensi para sahabatnya dan selalu menggalakkan mereka mengembangkan potensi masing-masing dengan memberi gelaran-gelaran kepada sahabatnya seperti Abu Bakar As-Siddig (yang selalu membenarkan), Umar Al-Faruq (yang membezakan antara yang hak dan yang batil), Abu ‘Ubaidah Amin Al-Ummah (pengamanah umat), Khalid Bin Walid Saifullah (Pedang Allah). Baginda mengenal potensi mereka.

Jika potensi-potensi tepat pada orang yang memilikinya dan dipelihara sungguh-sungguh, akan membuahkan hasil yang sangat baik. Tidak wajar bagi murabbi memberi gelaran yang tidak sesuai dengan keperibadian muridnya.

Pengenalan ini Rasulullah dapatkan kerana baginda sebagai seorang murabbi sering berkumpul dengan para sahabatnya, makan minum bersama mereka, berbual-bual dengan mereka, berlumba dengan mereka dan memahami perwatakan masing-masing keperibadian sahabat-sahabatnya. Ini adalah hasil at-ta’aamul (pergaulan).

Jika seorang ibu hanya sempat melihat anaknya 2 jam setiap hari (kerana kesibukan bekerja di luar rumah) dan si anak menghabiskan baki masa yang lain dengan si pembantu rumah, adakah si anak akan dapat mengembangkan rasa kasihnya pada ibunya, mengambil qudwah hasanah dari ibunya?

Jika seorang guru hanya bergaul dengan muridnya sewaktu berada di antara empat dinding bilik kuliah, bagaimana si murid boleh mengambil qudwah darinya? Perlu ditekankan di sini, jika perasaan kasih sayang itu ingin dibina, maka perlu menjalani proses at-ta’aamul itu.

4 ) Mengambil berat

Apabila seorang mendatangi saiyidina Abdullah bin Abbas di masjid pada ketika itu beliau sedang beriktikaf di Masjid Nabi, orang itu meminta beliau menunaikan sebahagian hajatnya, maka saiyidina Abdullah bin Abbas mencapai capalnya dan ingin keluar dari ibadah iktikafnya. Saat itu, beliau ditegur oleh beberapa orang yang mengatakan “Wahai Abdullah! Tidakkah kamu ingat bahawa kamu sedang beriktikaf di Masjid Nabi?” Beliau pun menjawab “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya, maka itu adalah terlebih baik dari beriktikaf di masjid ku selama sebulan.”

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Al-Ihya’: “Adalah merupakan kewajipan seorang murabbi dan naqib untuk mengambil tahu hal ehwal murid-muridnya; rumahnya, rezekinya, tugasnya dan keperluan-keperluannya. Seorang murabbi perlu membantu muridnya dari sudut material hingga dia akan dapat memenangi hati muridnya dan terus membawanya berjalan ke jalan Allah.”

Imam Sa’id Bin Al-Musayyab bertanyakan berita muridnya yang telah tidak menghadiri kuliah ilmunya selama 2 hari. Apabila muridnya ditanya, dia menjawab ringkas “Isteri ku telah wafat”. Si imam pun berkata kepadanya dengan perasaan penuh tanggungjawab “Akan ku kahwinkan mu dengan puteri ku” yang pada ketika itu pernah dipinang oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Sesebuah proses tarbyiah perlu kepada 4 komponen asas ini, iaitu; Murabbi, Murid, Manhaj dan Bi’ah Solehah (suasana yang baik). Dalam konteks dakwah semasa, biasanya kita tidak menghadapi masalah di dalam mendapatkan 3 komponen yang terakhir, tetapi masalah selalu timbul apabila kita cuba mendapatkan sebuah sosok peribadi murabbi yang baik. Jika kita ingin berkhidmat kepada dakwah Islamiah dengan baik, kita perlu mewujudkan sosok-sosok peribadi murabbi yang baik. Bagaimana kita mewujudkan mereka ini?

Jika kita singkap kembali keadaan umat Islam pada zaman sekarang ini, sekali imbas kita akan mendapati bahawa umat Islam sedang dalam keadaan yang lemah, wilayah-wilayahnya ditawan, Al-Aqsa masih lagi di dalam genggaman musuh. Pernah satu ketika, dua orang tokoh Islam berjumpa, mereka ialah Imam Al-Ghazali dan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Mereka membincangkan bagaimana menyelamatkan keadaan ummah yang sedang tenat pada ketika itu.

Akhir sekali, mereka sama-sama bersetuju untuk mengasaskan Madrasah An-Nizamiah (pada ketika itu) dan menjalankan tarbiyah yang sangat berkesan sehingga dapat melahirkan tentera yang dianggotai oleh panglima-panglima Islam seperti ‘Imaduddin Zinkiy dan Salahuddin Al-Ayyubi. Apabila diperiksa aktiviti askar-askar tersebut di waktu malam, mereka didapati sedang bersolat malam, bertilawah Al-Quran atau bermunajat kepada Allah taala, lalu berkata lah panglima perang: “Sesungguhnya tentera seperti ini tidak akan kalah sama sekali.”

Maka jelaslah bagi para pembaca sekalian, bahawa isu kemenangan umat Islam bukanlah satu isu yang rumit tetapi, persoalan yang lebih penting dari itu bagaimana kita mewujudkan barisan murabbi dan individu-individu muslim yang bersedia untuk ditarbiyah atas petunjuk Allah taala.

Sesungguhnya tarbiyah memerlukan kepada roh. Jika roh tarbiyah hilang, maka semua usaha tarbiyah tidak akan memberi kesan dan tidak akan dapat membuahkan hasil yang baik. Saiyidina Ali k.w ketika sudah menyandang jawatan khalifah bertanya kepada para sahabat “Apakah angan-angan kamu semua?” Ada yang menjawab: “Aku berangan-angan jika aku bisa mempunyai harta yang banyak maka akan ku-infaq-kan di jalan Allah”.

Namun apabila beliau ditanya “Apakah yang kau cita-citakan, wahai Amirul Mukminin?” Beliau menjawab “Aku bercita-cita jika aku mempunyai orang-orang seperti Abu Bakar, Umar, Abu ‘Ubaidah, Khalid sehingga aku boleh membuka kota-kota dengan orang-orang seperti mereka ini”

Khamis, 30 April 2009

ADAB & AKHLAK BERJAMAAH


MUQADDIMAH

Adapun jamaah kita berada di atas prinsip yang benar iaitu menegakkan Islam secara menyeluruh.

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yang benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang.

Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:



1.Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t.. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang menjadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t.. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)



2.Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dan tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan janji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.



3.Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia..



4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutny a.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.



5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6.Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.



7.Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t.. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.



9.Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.

Rabu, 29 April 2009

RISALAH DAN IKTIBAR DARI PERANG HUNAIN




Saya tidak bermaksud untuk merosakkan mood rakyat umumnya dan para pejuang khasnya apabila membawa risalah dan iktibar dari Hunain buat tatapan umum .

Sebaliknya apa yang saya maksudkan ialah agar kita dapat pertahankan kemenangan serta prestasi cemerlang yang telah dicapai sebelum ini dan suatu yang lebih penting daripada itu ialah untuk memastikan perjuangan kita berada di atas landasannya yang benar .

Menang atau kalah itu adalah persoalan yang kedua . Adapun perkara yang lebih utama ialah keaslian dan ketulenan manhaj perjuangan kita mesti dipertahankan . Kita mahu menang dengan kebenaran manhaj Islam yang kita perjuangkan dan kita rela kalah , asal sahaja manhaj perjuangan Islam yang benar ini tidak digadai .

Hari ini , rata - rata saya lihat mood rakyat untuk menolak BN semakin ketara dan kian jelas lagi berani . Isi hati mereka mula disuarakan walau di hadapan khalayak ramai setelah lama dibiarkan membungkam sebak di dada . Jika dulu mungkin ada rakyat malu silu dan takut segan untuk memprotes atau mengkritik kerajaan UMNO dan BN jua para pemimpinnya yang jelas melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa .

Lebih hebat saya saksikan keyakinan dan kesungguhan para aktivis PAKATAN untuk menjatuhkan BARISAN terutama setelah tercetusnya tragedi penubuhan kerajaan Haram UMNO dan BN di negeri Perak .

Tentu sahaja tiada taranya iman dan jihad yang dipamerkan oleh ahli - ahli PAS dalam usaha mereka membawa Islam ke tengah masyarakat . Sekali gus memacu dan memimpin kebangkitan rakyat menolak kepimpimpinan dan kerajaan UMNO dan BN , setelah mereka gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang tunduk dan akur kepada Allah swt selama mereka diberi peluang oleh Allah swt memerintah negara dan diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin .

Namun begitu , semangat sahaja tidak memadai . Mood juga belum cukup . Jumlah dan sokongan ramai pun belum pasti . Kemudahan dan pengaruh yang kita miliki masih tidak menjamin kemenangan . Kerana kita perlukan Allah swt .

Kita perlukan Allah swt dalam apa jua situasi . Menang atau kalah , senang atau mudah dan tenang atau resah . Allah swt penentu kemenangan dan kejayaan perjuangan kita .

Marilah kita renungkan sejenak firman Allah swt :

لقد نصركم الله في مواطن كثيرة و يوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلن تغن عنكم شيئا و ضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم توليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله و على المؤمنين و أنزل جنودا لم تروها و عذب الذين كفروا و ذلك جزاء الكافرين

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu sekali - kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.

Surah at Taubah : Ayat : 25 - 26

Risalah dan Iktibar :

Risalahnya :

Peperangan di Hunain sewaktu nabi saw berhadapan dengan Bani Hawazin dan Bani Thaqif , Nabi saw memimpin 12 ribu angkatan tentera Islam . Satu jumlah yang besar dan pertama kali dalam sejarah tamadun Islam , Nabi memimpin tentera seramai itu .

Akhirnya sebahagian ummat Islam pada waktu itu mula berasa yakin untuk capai kemenangan dengan jumlah mereka yang begitu ramai . Lantas mereka mula memandang rendah pada kekuatan musuh dan memandang mudah kepada persiapan dan strategi perang .

Ringkasnya , dipermulaan perang mereka telah mendapat tentangan sengit dari musuh justeru mereka tidak bersedia secukupnya lantaran over confident telah menguasai minda mereka sewaktu mereka menapak masuk ke medan perang . Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh musuh dan berjaya mengkucar kacirkan tentera ummat Islam diperingkat awalnya sebelum Allah swt menghantar pertolonganNya dan tentera yang tidak kelihatan untuk membantu agama dan rasulNya.

Allah swt telah tegaskan : sekali - kali kekuatan dan ramainya jumlah kamu tidak cukup malah hasil serangan musuh yang bertubi arus menyebabkan kamu merasakan dunia yang sebegini luas menjadi sempit dan kamu lari bertempiaran .

Iktibarnya :

Hari ini kedengaran sayup - sayup dan ianya cukup untuk sampai ke telinga saya bagaimana rasa congkak dan over confident kian menular dalam jiwa pejuang kita . Kita sudah menang di Permatang Pauh dan kita juga sudah menang di Kuala Terengganu maka di Bukit Gantang ni kita pejam sebelah mata pun boleh menang ! .

Kita sudah ramai penyokong . Ahli Kelab penyokong saja telah mencecah angka tidak rasminya 80 ribu . Sementara ahli kita [ PAS ] telah menghampiri satu juta . Belum kita campur lagi dengan anggota PKR dan DAP yang menyokong kita . Kita semakin kuat dan ramai . Kita mesti menang !

Hati - hati dengan emosi ini . Allah swt terlebih dahulu telah menegur para sahabat rhm dan menjadi iktibar kepada kita ummat mutaakhir ini . Betapa jumlah yang ramai saja belum mencukupi begitu jua kekuatan kita belum mampu untuk benar - benar mempertahankan kemenangan .

Apa yang kita perlu , setelah segala usaha gigih kita lakukan ialah Nusrah Allah swt . Jangan over confident sehingga kita pandang rendah pada keupayaan Najib Sparrow and The Gang dalam mencatur perkiraan politik mendepani PAKATAN dalam pilihanraya kelak .

Kesimpulannya :

kekalkan kerendahan diri dan ketinggian budi dalam meniti hari - hari perjuangan ini kelak kita tidak rugi . Pastikan kita tidak sampai menggigit jari menyaksikan segala strategi tidak menjadi .

Jangan kita lupa diri . Dekati pengundi dengan tulus hati nurani yang suci . Didik mereka sehingga mereka reti . Minimakan rasa benci sekalipun dari seteru kita yang hasad dengki . Pertahankan jati diri bersama perjuangan suci ini . Jangan sampai tergadai hanya dengan janji manis yang tidak pasti .

Yakinilah pertolongan Allah swt , namun pertolongan itu perlu dicari bukan sekadar menanti . Andai perjuangan yang kita kenderai ini dipacu seikhlas hati pula kita merintih munajat saban hari mohon diperhati , saya yakin lagi pasti , Allah mesti akan memberi .

Isnin, 16 Februari 2009

Kepentingan Tarbiyyah Takwiniyyah Dalam Da'wah Islamiyyah



"...Dan hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan ma’ruf (yang baik) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah yang menang..." (QS. Ali Imran:104)

Masalah Umat Islam

Pada saat ini masalah umat Islam berada pada tingkat yang paling parah. jika dilihat dari peringkat perjuangan Islam. Hal ini berlaku kerana wujudnya krisis kepimpinan yang ketara, dengan hilangnya sistem pemerintahan khilafah. Kaum muslimin menjadi sasaran musuh-musuh Allah yang cuba untuk menghancurkan peradaban dan kebudayaan Islam.

Lebih menakutkan keadaan, sebahagian besar daripada kaum muslimin sama sekali tidak menyedari hakikat ini. Mereka merasa tenang dengan keadaan ini dan merasakan telah cukup berjuang untuk Islam. Kebanyakannya masih tenggelam dengan kerehatan dan berpuas dengan kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi dari musuh-musuh Allah. Tanpa disedari, timbul satu lagi bentuk penjajahan iaitu penyerangan pemikiran (ghazwul fikri) dan pemurtadan umat, yang sedang berjalan dengan licin dan kencang. Kenyataan yang harus diterima di dalam hal ini walaupun pahit ialah pengetahuan kaum muslimin tentang Islam menjadi semakin lemah semakin hari.

Pada sisi lain pula kepatuhan dan ikutan terhadap kaum kafir akan melemahkan umat Islam. Sememangnya, kini sebahagian besar dari negeri-negeri Islam telah bebas dari penjajahan, tetapi pemikiran dan ideologi negeri-negeri itu masih berkiblat kepada musuh-musuh Allah. Kapitalisme masih menentukan sistem ekonomi umat Islam. nasionalisme membentuk politik yang mereka bangga-banggakan. Segala pemikiran dan ideologi jahiliyah itu, disebut sebagai sistem yang bersumber dari nenek-moyang mereka. Kelemahan lain yang didapati ialah kebanyakan pemimpin negeri-negeri muslim bukanlah orang yang mempunyai iltizam terhadap Islam. Bahkan kadangkala di antara mereka terdapat musuh dakwah dan umat Islam. Tiada yang berniat untuk menegakkan atau membela sistem Islam. Masing-masing mempunyai kepentingan, negeri-negeri muslim tenggelam dalam kancah pertikaian dan saling bermusuhan. Akhirnya umat Islam menjadi makanan enak kepada musuh-musuh Islam.

Takwiniyah - Jalan Penyelesaian

Dalam keadaan seperti ini, Allah menghendaki kaum Muslimin kembali kepada Islam yang sebenar, beriman dengan iman yang istiqamah, bertaqwa dengan sebenarnya, serta menyiapkan diri untuk mati di jalan Islam (husnul khatimah).

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri (Islam) kepada Allah”. (QS 3:102)

Inilah perintah Allah bagi setiap individu muslim. Mereka harus mempertahankan keperibadian Islam pada diri mereka. Untuk itu, mereka harus mengislamisasi kembali diri dan keluarga mereka menuju kepada terbentuknya masyarakat Islam.

Umat Islam mesti bangun semula dan sedar akan peranannya sebagai penyelamat ummah dan dunia, serta membangunkan peradaban positif. Mereka harus bangun dari tidur nyenyak dan melepaskan diri dari tilam empuk, tegak dan bangkit, kembali pada bimbingan dan pimpinan Allah. Untuk itu Allah mengisyaratkan:

“Dan berperanglah kamu semua dengan tali (Din) Allah dan jangan saling bercerai-berai, ingatlah nikmat Allah yang diberikanNya kepada kamu, ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan kemudian Allah menjinakkan di antara hati kamu, maka jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan padahal kamu berada di pinggir jurang neraka maka Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikian Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya agar kamu mendapat petunjuk” (QS 3:103)


Ayat ini jelas mewajibkan kaum muslimin untuk:

1. Berpegang teguh pada satu ikatan (hablullah)
2. Bersatupadu, tidak bercerai-berai atau berpecah-belah
3. Sentiasa mengingat nikmat Allah yang telah menyatukan hati mereka dalam ikatan aqidah islamiyah
4. Menyuburkan ukhuwah islamiyah

Inilah jalan yang boleh menyelamatkan kaum muslimin dari kehancuran yang dinanti-nanti dan dirancangkan oleh musuh-musuh Islam. Untuk mencapai usaha di atas, Allah mewajibkan pembentukan suatu gerakan dakwah yang mampu mengajak manusia pada kebaikan, menyuruh mereka melakukan ma’ruf dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar. Mereka harus memulakan usaha ini, membentuk umat yang memiliki kualiti tinggi dalam menegakkan Islam.

Dalam pembentukan umat dakwah ini, takwin memainkan peranan yang penting. Umat Islam mesti kembali mendidik suatu generasi yang mampu menampilkan islam dalam bentuk yang sebenarnya sebagaimana yang telah timbul pada zaman sahabah. Dasar dan jalannya ialah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan yang menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS 3:104)

Rujukan utama dalam melaksanakan ini ialah Rasulullah saw. Dalam perjalanan hidup Rasul dan para sahabat ridwanullahu alaihim, Allah telah menggambarkan suatu manhaj yang jelas dan cemerlang untuk membangun kembali umat ini. Dengan cara pembinaan yang dibuktikan oleh Rasulullah, nyatalah bahawa bentuk pembinaan (takwiniyah) harus merupakan tarbiyah islamiyah harakiyah (pendidikan Islam berbentuk gerakan). Hal ini lahir dan amat diperlukan tuntutan dari realiti umat yang kita hadapi sekarang mempuyai persamaan dengan keadaan di masa Rasul. Di samping itu, watak khas dari semua kitabullah adalah tarbiyah Rabbaniyah. Firman Allah:

“Tetapi jadilah kamu orang-orang yang Rabbani, oleh sebab kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu sentiasa mempelajari Al-Kitab”.(QS3:79)

Maka Al Quran menjadi sumber utama dalam takwiniyah. Setiap ayatnya menuntut untuk membangun generasi baru peradaban Islam. Bukankah ia membentuk peribadi-peribadi terbaik dan umat terbaik (khairu ummah)? Rasulullah bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkan Al-Quran”(HR Bukhari dan Muslim).


Tarbiyah Harakiyah Nabawiyah

Tarbiyah harakiyah merupakan salah satu fungsi kitabullah Al-Quran. Di samping ia sebagai kitabusyari’ah yang berisi hukum, peraturan dan undang-undang Ilahi, Al-Quran adalah pembimbing muslim untuk menempuh kehidupan yang sesuai dengan kehendak Allah. Di dalam kitab ini, terdapat pengarahan Rabbani yang memiliki pengaruh yang mendalam pada hati setiap muslim yang membacanya.

Tidak ramai orang yang dapat memerhatikan betapa tingginya nilai tarbiyah ilahiyah ketika turunnya ayat-ayat Al-Quran pada Nabi Muhammad saw. Terdapat di dalamnya rahsia besar yang mampu menghasilkan dakwah beliau. Sebagai Nabi, rasulullah adalah murabbi (pendidik) yang paling utama bagi umatnya. Generasi pertama ini, iaitu generasi sahabat ridwanullahu alaihim, telah mendapatkan bimbingan Ilahi ini. Tidaklah menghairankan jika

Rasulullah sendiri memberi penegasan:

“Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya.” (Hadis Sahih)

Dari bimbingan pendidik utama ini lahirlah peribadi-peribadi unggul, tidak pernah ada dalam sejarah seperti mereka. Peribadi yang dibentuk Al-Quran, atau dengan istilah Sayyid Qutb “Jailul Quran al’farid” (generasi Qurani yang unik).

Apa yang menjadi pertanyaan kini ialah, “Bagaimana generasi unik ini dibentuk? Apakah pola pembentukannya dapat diulangi kembali sehingga mereka yang mengikuti pola ini juga dapat melahirkan generasi yang unik pula?” Pertanyaan ini merupakan suatu tajuk perbahasan yang menarik tetapi ulama Islam jarang sekali menyedari hakikat ini apatah lagi untuk menggunakannya. Hanya mereka yang menyelami dunia harakiyah islamiyah yang tertarik melakukan pembahasan terhadap masalah ini.


Intipati Takwiniyah

Tarbiyah yang dilakukan Allah terhadap rasulNya atau yang diwujudkan Rasulullah terhadap para sahabat adalah apa yang dikatakan sebagai tarbiyah takwiniyah. Istilah takwiniyah memang kerapkali muncul pada waktu kebelakangan ini. Intipati dari pembinaan nabi terhadap para sahabat jelas merupakan proses takwin. Tarbiyah takwiniyah adalah daya yang membentuk atau menjadikan kader yang mampu memikul tugas dan amanah dakwah dalam rangka menegakkan Din (Iqamatud din). Ia memiliki sasaran yang sangat jelas:

1. Terbentuknya syaksiyah Islamiyah yang menjadi teladan bagi manusia

2. Terbentuknya syaksiyah Da’iyah yang mampu menyeru manusia ke jalan Islam.


Sasaran Pembinaan Dakwah

Pemahaman terhadap Usul dinul Islam menjadi modal bagi kefahaman terhadap kesempurnaan Islam. Dalam pembinaan, langkah pertama adalah membentuk tasawwur (gambaran) dalam setiap mad’u. Tasawur itu seharusnya mencapai tiga kriteria:

1. Jelas, ertinya tidak ghumudh (samar). Islam yang disajikan dapat di faham dengan mudah, tidak berbelit atau sukar untuk difahami. Bila Islam itu diibaratkan sebagai sebuah rumah, maka harus jelas dasarnya. Ertinya, setiap bahagian Islam harus difahami dengan jelas fungsinya sehingga mempunyai kefahaman yang mantap dan jitu serta tidak meragukan lagi.

2. Benar dalam erti kata tidak salah, keliru atau menyimpang, seperti Islam yang difahami oleh salafus soleh, bukan Islam hasil daripada perancangan setengah ulama yang datang waktu kebelakangan ini terutama mereka yang belajar pada orientalis kuffar. Kebenaran bergantung pada sumber pengambilannya, iaitu kitab Allah dan sunnah RasulNya serta pendapat ulam-ulama yang mu’tabar. Jalan yang benar untuk memahami keduanya adalah jalan yang telah dilalui Ahlus Sunnah wal jamaah.

3. Menyeluruh (syumul) dalam erti kata tidak berpecah. Islam yang disajikan harus merupakan Islam yang utuh bukan sebahagiannya sahaja. Tidak dibenarkan percampuran di antara haq dengan batil. Sesungguhnya membentangkan sebahagian dengan percampuran dengan suatu pendapat yang lain adalah pengkhianatan terhadap Allah dan RasulNya.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya (syaitan) itu musuh y ang nyata bagimu” (QS 2:208)


Membentuk Peribadi Muslim

Setelah memiliki tasawur dengan tiga kriteria ini maka langkah berikutnya ialah mad’u hendaklah berinteraksi dengan Islam, baik dengan teori-teori Islam ataupun makna yang terkandung dalam teori-teori tersebut. Interaksi ini wujud dalam empat bentuk:

1. Interaksi Islam dengan hati akan membentuk aqidah, keyakinan mu’min yang dipenuhi dengan iman.,dan kemampuan bersikap ikhlas kerana Allah. Ini termasuk mengingkari segala bentuk keganasan dan penghambaan manusia atas manusia, kemudian menegakkan pengabdian kepada Allah Yang Esa dengan dilandasi iman yang suci dan mantap.

2. Interaksi Islam dengan akal akan membentuk fikrah atau cara berfikir (ideologi) secara Islam. Fenomenanya mampu menjadikan Kitab Allah sebagai pembentuk fikrah. Ini termasuk juga unsur zikir, tafakkur dan tazakkur sekaligus. Dengan demikian ia berupaya memecahkan masalah hidup manusia, diri maupun masyarakatnya, dengan hidayah Allah.

3. Interaksi islam dengan perasaan akan membentuk selera Islami. Fenomenanya ialah menyenangi hal-hal yang mendekatkan manusia kepada Allah dan membenci segala hal yang menjauhkan mereka dari Penciptanya. Ia mengambil berat terhadap nasib kaum muslimin dimanapun mereka berada.

4. Interaksi Islam dengan perbuatan akan melahirkan akhlak yang mulia. Ia berupaya menjadikan dirinya bertingkahlaku dan berbudaya qur’ani. Fenomenanya terbukti dalam amal dan aktiviti seharian.

Keempat interaksi itulah yang membentuk peribadi seorang muslim. Bila islam telah sebati dalam dirinya, segala kegiatannya menjadi Islami

“Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya selain dari Allah. Dan Kami hanya mengabdi kepadaNya” (QS 2:138)

Sesungguhnya islam hanya boleh diwujudkan dalam suasana Islami. Lantaran itu, proses takwin hanya boleh berjalan dalam kehidupan yang Islami. hubungan antara murabbi dengan mutarabbi, atau antara para murabbi itu sendiri mesti dijiwai dengan Islam.


Membentuk Peribadi Da’i

Keunggulan takwiniyah terletak pada kemampuannya menyiapkan kader yang bersedia berkhidmat untuk ketinggian Islam. Selama kurang lebih tiga belas tahun lamanya, madrasah Rasulullah hanya melahirkan sekitar lebih 300 rijal. Ini menunjukkan bahawa dalam proses takwin, kualiti dan bukan kuantiti dititikberatkan.

Peribadi-peribadi Islami yang terbentuk dengan program pembinaan di atas perlu ditingkatkan menjadi peribadi seorang da’i. Tentu sahaja dengan meningkatkan keadaan rohani, aqli dan suluki akan melahirkan seorang murabbi. Dalam pada itu, mad’u pun dilibatkan dalam harakah Islamiyah.

Penglibatan mad’u dalam harakah (pergerakan) dimulai dengan memberikan kesedaran terhadap suasana dunia Islam dan sebab-sebabnya. Ini terlaksana dengan menyampaikan gambaran usaha dan perancangan musuh menghancurkan islam wal muslimin. Kemudian mulailah diperkenalkan pada fiqhud-dakwah. Sedikit demi sedikit mad’u akan memahami penyelesaian cara islami terhadap pelbagai masalah yang dihadapi umat. Di samping itu, mad’u perlu memahami Tabiat Ma’rakah (pertembungan) antara haq dan batil. Sasaran yang hendak dicapai adalah kesediaan dan persiapan untuk berjihad di jalan Allah dengan jihad yang bermanhaj.

“Maka janganlah kamu taat kepada orang-orang kafir itu, dan berjihadlah terhadap mereka dengan jihad yang sebenar-benarrnya” (QS 25:52)

Dengan takwiniyah ini, diharapkan para mad’u akan dapat lahir sebagai murabbi yang dinamik. Mereka boleh menjadi syaksiyah mustaqimah (Peribadi beristiqamah) di tengah-tengah umat ataupun syaksiyah da’iyah yang menjadi teladan umat serta sumber pemikiran Islami.

Di samping para du’at, takwin juga menghasilkan orang-orang yang beriltizam dengan harakah dalam pelbagai disiplin ilmu yang diperlukan untuk membangun masyarakat Islam. Gerakan dakwah memerlukan agar potensinya menjadi kekuatan umat.

Apabila bilangan kader Islam ini telah mencukupi, maka jalan menuju terbentuknya kembali masyarakat islam terbentang luas di hadapan kita. Kewajipan kita untuk merelisasikan cita-cita mulia ini, kita doakan agar Allah memberi pertolongan sebagaimana yang telah dijanjikanNya untuk menolong siapa yang menolong (Din)Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa......

PENGERTIAN TARBIYYAH



Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW.

Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :


“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”

(Ali ‘Imran: 110)

Peranan Tarbiyah Islamiyah.

Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan sesuatu masyarakat.

Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.

Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan Islam adalah iman. Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat Islam.

Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid Rububiyatillah dan tauhid Uluhiyatillah. "Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia mengetahui hakikat diri dan letak duduknya manusia itu dalam hidup supaya faham mengapa manusia itu dijadikan, memahami hubungan dan pimpinan akal fikiran manusia, tindak lakunya dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Shadid dalam ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap kembali sejarah dengan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Baginda adalah contoh utama dan qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran.

Baginda adalah pendakwah yang amat faham tentang dakwahnya dan murabbi (pendidik) yang dianugerahkan segala sifat sebagai murabbi. Baginda mengajak sahabatnya dan orang ramai beriman kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan.

Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said Hawa, pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul. Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek. Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia.

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu dikira sebagai ‘ubudiyah (ibadah) kepada Allah SWT. Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada aqidah yang baik.

Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.


“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”

(Al-Zariyat: 56)

Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah).

Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya menjadi tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.

Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas utama bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.

Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar: “...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.” Allah berfirman :


“Sesungguhnya orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah.”


(Al-Hujurat: 15)

Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.”

“Pada hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang balik kepada Allah dengan hati yang (sejahtera).”

Tarbiyah Islamiyah berusaha menghidupkan jiwa supaya tidak mati, memakmurkannya supaya tidak binasa dan melembutkannya supaya tidak keras kerana hati yang keras dan akal yang beku merupakan satu kemungkaran yang perlu diminta perlindungan Allah SWT daripadanya. “Adapun Nabi SAW meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyu’.”

Hati Yang Soleh.

Baik buruk seseorang itu berpunca daripada hatinya. Tepat seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya yang bermaksud: “Ketahuilah di dalam jasad manusia terdapat seketul daging, jika baik ketulan itu maka baiklah seluruh jasadnya, tetapi jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.”

Oleh itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa perlu dibersihkan daripada sebarang syirik dan sifat yang tercela seperti hasad, ‘ujub, takkabur, bakhil, cintakan dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya.

Menurut Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati itu menjadi baik apabila ia mengenali Allah yang menciptanya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya dan peraturan-Nya. Hati yang sihat akan mengutamakan keredaan Allah dan mencintai apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang dimurkai-Nya.

Realiti Masyarakat Islam Kini. Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara semudah ini tidak difahami oleh umat Islam hari ini atau kabur bagi mereka. Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi kamu laksana buih air bah.” Dasar Penyelesaian Islam.

Masalah manusia hari ini tidak akan dapat dirungkaikan kecuali kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan fungsinya melainkan wujud para pendokong (‘amilinnya). Meneliti sejarah Rasulullah SAW, para pendokong dibentuk dan diproses melalui Tarbiyah Islamiyah yang mengikrarkan ‘ubudiyah hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang merangkumi i’tiqad, ibadah dan peraturan yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka.

Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa mereka daripada beriman kepada yang lain dan mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah semata-mata. Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat dibentuk. Ummah ini akan menjadi dasar penyelesaian Islam.

Ummah yang dianggotai oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’. Selagi ikrar ini tidak lahir dalam bentuk amalan individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar.

Konsep yang tegas dan jelas ini perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya hanya bagi Allah SWT. Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup setiap muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT.

Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah Islamiah benar-benar diasas dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain.

Allah berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 : “Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah din (agama) yang benar.”

Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula Allah berfirman : “Siapa yang mematuhi Rasul maka sesungguhnya ia mematuhi Allah.”

Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa anggota daripada ‘ubudiyah kepada yang lain daripada Allah swt sama ada dalam bentuk i’tiqad, ibadah dan syariat.

Ummah yang dianggotai mereka yang sudah bersih hati dan jiwa sahaja yang dapat membangunkan masyarakat Islam.

Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi, kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem jahiliyah atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai jahiliyah